Friday, May 15, 2009

INDAHNYA BERBAIK SANGKA


Hubungan yang baik antara satu dengan lain dan khususnya antara
muslim yang satu dengan muslim lainnya merupakan sesuatu yang
harus dijalin dengan sebaik-baiknya. Ini kerana Allah telah
menggariskan bahawa mukmin itu bersaudara. Itulah sebabnya,
segala bentuk sikap dan sifat yang akan memperkukuh dan
memantapkan persaudaraan harus ditumbuhkan dan dipelihara,
sedangkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak
ukhuwah harus dihilangkan. Agar hubungan ukhuwah islamiyah itu
tetap terjalin dengan baik, salah satu sifat positif yang harus
dipenuhi adalah husnuzh zhan (berbaik sangka).

Oleh kerana itu, apabila kita mendapatkan informasi negatif tentang
sesuatu yang terkait dengan peribadi seseorang apalagi seorang
muslim, maka kita harus melakukan tabayyun (penyelidikan) terlebih
dahulu sebelum mempercayainya apalagi meresponnya secara negatif,
Allah berfirman yang ertinya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang
fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan
perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu
(mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu
telah lakukan."
Q.S Al-Hujuraat : 6


Manfaat Berbaik Sangka

Ada banyak nilai dan manfaat yang diperolehi seseorang muslim bila
dia memiliki sifat husnuzh zhan kepada orang lain.

Pertama, hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih
baik, perkara ini kerana berbaik sangka dalam hubungan sesama
muslim akan menghindari terjadinya keretakan hubungan. Bahkan
keharmonian hubungan akan semakin terasa kerana tidak ada
halangan psikologis yang menghambat hubungan itu.

Kedua, terhindar dari penyesalan dalam hubungan dengan sesama
kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukan
kepada orang lain tanpa bukti yang benar, Allah berfirman
sebagaimana yang disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 6 di atas.

Ketiga, selalu berbahagia atas segala kemajuan yang dicapai orang
lain, meskipun kita sendiri belum dapat mencapainya, perkara ini
memiliki erti yang sangat penting, kerana dengan demikian jiwa kita
menjadi tenang dan terhindar dari iri hati yang boleh berkembang
pada dosa-dosa baru sebagai kelanjutannya. Ini bererti kebaikan
dan kejujuran akan membawa kita pada kebaikan yang banyak dan
dosa serta keburukan akan membawa kita pada dosa-dosa berikutnya
yang lebih besar lagi dengan dampak negatif yang semakin banyak.


Ruginya Berburuk Sangka

Manakala kita melakukan atau memiliki sifat berburuk sangka, ada
sejumlah kerugian yang akan kita perolehi, baik dalam kehidupan di
dunia mahupun di akhirat.

Pertama, mendapat dosa. Berburuk sangka merupakan sesuatu yang
jelas-jelas bernilai dosa, kerana disamping kita sudah menganggap
orang lain tidak baik tanpa dasar yang jelas, berusaha menyelidiki
atau mencari-cari keburukan orang lain, juga akan membuat kita
melakukan dan mengungkapkan segala sesuatu yang buruk tentang
orang lain yang kita berburuk sangka kepadanya, Allah berfirman
yang ertinya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari
sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang)
kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan
janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban
orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang
telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu
kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang
tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah
Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."
Q.S Al-Hujuraat : 12

Kedua, dusta yang besar. Berburuk sangka akan membuat kita
menjadi rugi, kerana apa yang kita kemukakan merupakan suatu dusta
yang sebesar-besarnya, perkara ini disabdakan oleh Rasulullah :

"Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang
paling dusta"
HR. Muttafaqun alaihi

Ketiga, menimbulkan sifat buruk. Berburuk sangka kepada orang lain
tidak hanya berakibat pada penilaian dosa dan dusta yang besar,
tetapi juga akan mengakibatkan munculnya sifat-sifat buruk lainnya
yang sangat berbahaya, baik dalam perkembangan peribadi mahupun
hubungannya dengan orang lain, sifat-sifat itu antara lain ghibah,
kebencian, hasad, menjauhi hubungan dengan orang lain dll.
Dalam satu hadith, Rasulullah bersabda :

"Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa
kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama
seseorang benar dan selalu memilih kebenaran dia tercatat di sisi
Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta,
sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan
membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih
dusta dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta.
HR. Bukhari

Larangan Berburuk Sangka

Kerana berburuk sangka merupakan sesuatu yang sangat tercela dan
mengakibatkan kerugian, maka perbuatan ini sangat dilarang di dalam
Islam sebagaimana yang sudah disebutkan pada Surah Al-Hujuraat
Ayat 12 di atas. Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka, maka
masing-masing kita harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik
dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apalagi dengan
sesama muslim dan aktivis dakwah. Disamping itu, bila ada benih-
benih di dalam hati perasaan berburuk sangka, maka perkara itu
harus segera dicegah dan dijauhi kerana ia berasal dari godaan
syaitan yang bermaksud buruk kepada kita. Dan yang lebih penting
lagi adalah memperkukuh terus jalinan persaudaraan antara sesama
muslim dan aktivis dakwah agar yang selalu kita kembangkan adalah
berbaik sangka, bukan malah berburuk sangka.

Oleh kerana itu, Khalifah Umar bin Khattab menyatakan: Janganlah
kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang
saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau
dapatkan bahawa kata-kata itu mengandungi kebaikan.

Demikian perkara-perkara dasar yang harus mendapat perhatian kita
dalam kaitan dengan sikap husnuzhzhan (berbaik sangka).

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu
dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu,
wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku.
Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku
"Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu,
Jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu,
dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah "

By:

No comments:

Post a Comment